Isnin, 27 Februari 2012

Bayaran Gaji 202 Jurulatih PLKN Diselesai Segera

Bayaran Gaji 202 Jurulatih PLKN Diselesai Segera
Ahad Februari 26, 2012

PASIR MAS: Seramai 202 jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang belum menerima gaji untuk bulan lepas akan menerimanya pada minggu pertama bulan depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata mereka merupakan jurulatih yang tempoh perkhidmatan mereka secara kontrak selama dua tahun berakhir Disember tahun lalu dan sepatutnya dilantik semula bulan lepas, tetapi tidak dapat dilakukan berikutan penangguhan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

"Tindakan segera telah diambil iaitu mereka akan dilantik sebagai jurulatih sambilan di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003, dengan menggunakan kuasa Menteri Pertahanan di mana di bawah akta tersebut, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Program Latihan Khidmat Negara mempunyai kuasa untuk melantik jurulatih," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLK NCancun Park di sini Ahad.

Abdul Hadi berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah bersetuju dengan pelantikan 202 jurulatih itu sebagai jurulatih sambilan dan menyegerakan pembayaran gaji mereka.

"Usaha pelantikan mereka sebagai jurulatih sambilan telah dimulakan sejak dua hari lalu sebaik JLKN mendapat maklumat bahawa pelantikan mereka secara kontrak tidak boleh dibuat kerana penagguhan pelaksanaan SBPA.

"Kita meminta mereka segera mengisi dokumen yang diperlukan dan pihak gaji juga telah memberi komitmen untuk membayar segera gaji mereka," katanya.

Beliau yakin menerusi tindakan yang segera itu, ia dapat membantu jurulatih terlibat dengan kerajaan mahu mereka terus menjalankan tugas untuk berkhidmat kepada negara kerana khidmat mereka selama ini banyak membantu membangunkan PLKN.

"Mereka yang terlibat akan dilantik secara kontrak, tarikhnya bergantung pada tarikh selesai isu SBPA dan dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya.

Abdul Hadi berkata baki 3,300 lagi jurulatih yang sedang berkhidmat di 81 kem PLKN di seluruh negara tidak menghadapi masalah pembayaran gaji. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/2/26/mstar_berita/20120226191513&sec=mstar_berita