Isnin, 27 Februari 2012

Bayaran Gaji 202 Jurulatih PLKN Diselesai Segera

Bayaran Gaji 202 Jurulatih PLKN Diselesai Segera
Ahad Februari 26, 2012

PASIR MAS: Seramai 202 jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang belum menerima gaji untuk bulan lepas akan menerimanya pada minggu pertama bulan depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata mereka merupakan jurulatih yang tempoh perkhidmatan mereka secara kontrak selama dua tahun berakhir Disember tahun lalu dan sepatutnya dilantik semula bulan lepas, tetapi tidak dapat dilakukan berikutan penangguhan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

"Tindakan segera telah diambil iaitu mereka akan dilantik sebagai jurulatih sambilan di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003, dengan menggunakan kuasa Menteri Pertahanan di mana di bawah akta tersebut, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Program Latihan Khidmat Negara mempunyai kuasa untuk melantik jurulatih," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLK NCancun Park di sini Ahad.

Abdul Hadi berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah bersetuju dengan pelantikan 202 jurulatih itu sebagai jurulatih sambilan dan menyegerakan pembayaran gaji mereka.

"Usaha pelantikan mereka sebagai jurulatih sambilan telah dimulakan sejak dua hari lalu sebaik JLKN mendapat maklumat bahawa pelantikan mereka secara kontrak tidak boleh dibuat kerana penagguhan pelaksanaan SBPA.

"Kita meminta mereka segera mengisi dokumen yang diperlukan dan pihak gaji juga telah memberi komitmen untuk membayar segera gaji mereka," katanya.

Beliau yakin menerusi tindakan yang segera itu, ia dapat membantu jurulatih terlibat dengan kerajaan mahu mereka terus menjalankan tugas untuk berkhidmat kepada negara kerana khidmat mereka selama ini banyak membantu membangunkan PLKN.

"Mereka yang terlibat akan dilantik secara kontrak, tarikhnya bergantung pada tarikh selesai isu SBPA dan dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya.

Abdul Hadi berkata baki 3,300 lagi jurulatih yang sedang berkhidmat di 81 kem PLKN di seluruh negara tidak menghadapi masalah pembayaran gaji. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/2/26/mstar_berita/20120226191513&sec=mstar_berita

Sabtu, 28 Januari 2012

Betul ke program PLKN kini diterima meluas?

Jika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi begitu yakin program PLKN kini diterima meluas, kenapa perlu pemilihan ke program PLKN ini dibuat secara rawak melalui komputer dan diwajibkan untuk peserta yang dipilih secara rawak tersebut hadir, jika tidak, tindakan keras akan diambil? Dalam perkembangan berkaitan, setelah kerajaan membelanjakan RM4.7 bilion bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ditubuhkan pada 2004 sehingga 31 Ogos 2011, kenapa pakaian PLKN dilaporkan mudah koyak?


Program PLKN Kini Diterima Dengan Meluas:Ahmad Zahid

Jumaat Januari 27, 2012

SIBU: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini diterima dengan meluas dan mendapat kepercayaan ibu bapa berikutan kesan positifnya terhadap anak mereka, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika diperkenalkan pada 2004, tahap keyakinan tidak ada, katanya.

"Selepas tahun ketiga, kami telah membuktikan bahawa modul yang diperkenalkan kepada peserta berjaya mengubah, dan ke arah yang lebih baik, bukan sahaja corak pemikiran tetapi juga sikap mereka.

"Ibu bapa mula meletakkan tahap keyakinan yang lebih tinggi terhadapnya," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan sesi Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Kem Latihan PLKN Junaco di Jalan Ulu Oya di sini, Jumaat.

Zahid berkata malah penasihat DAP Lim Kit Siang menyaksikan sendiri cucu perempuannya, yang dihantar ke Kem Balik Pulau, berubah ke arah yang lebih baik selepas menyertai program berkenaan.

"Anak lelaki beliau (Kit Siang) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga memberitahu saya kesan positif daripada program ini terhadap anak perempuannya, dan mengucapkan terima kasih kepada saya.

"Sungguhpun pembangkang tidak pernah mengatakan sesuatu yang positif mengenainya, kami tahu jauh di sudut hati, mereka mengakui usaha kami," katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/1/27/mstar_berita/20120127160552&sec=mstar_berita

Isu pakaian PLKN mudah koyak

SIBU 27 Jan. 2012 – Kementerian Pertahanan memandang serius isu peralatan tidak berkualiti yang dibekalkan kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) termasuk memotong bayaran kepada pembekal yang terlibat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, namun isu berkenaan adalah masalah terpencil dan tidak perlu diperbesarkan.

“Ia cuma masalah terpencil dan secara kebetulan kita akan mengeluarkan tender baru dalam masa terdekat.

“Jika ada sebarang kerosakan, kita akan cari penyelesaiannya termasuk meminta ganti yang baru atau mengurangkan bayaran kepada pembekal tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Kem PLKN Junaco Park di sini hari ini.

Beliau mengulas rungutan peserta PLKN tentang peralatan tidak berkualiti yang dibekalkan kepada mereka seperti pakaian seragam yang mudah koyak.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar; Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr. Tiki Lafe dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memberitahu, Briged Sukarela PLKN yang pernah diumumkan penubuhannya sebelum ini dijadual dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Tasik Chini, Pahang pada 4 Februari depan.

Setakat ini, katanya, hampir 15,000 alumni PLKN mengisi borang untuk menganggotai briged tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

Jumaat, 20 Januari 2012

Modul Latihan Untuk Pelatih PLKN Gemuk Dijangka Diperkenal Julai Ini

Modul Latihan Untuk Pelatih PLKN Gemuk Dijangka Diperkenal Julai Ini
Khamis Januari 19, 2012

BANTING: Modul latihan khas kecergasan bagi pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang gemuk dijangka dilaksanakan pada pengambilan Kumpulan Ketiga pelatih program itu Julai ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Kajian dan modul latihan bagi mereka yang gemuk ini dibangunkan oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) untuk memperhalusi modul-modul latihan untuk golongan remaja itu, katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian Pangkat Pelatih PLKN Kumpulan 1 Siri9/2012 di Kem PLKN Jugra di sini, Khamis.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata di bawah modul latihan itu nanti, pelatih yang mempunyai Indeks Jisim Badan melebihi 30 akan diberi pengecualian daripada aktiviti fizikal yang berat seperti 'flying fox', rempuh halangan dan aktiviti air.

Abdul Hadi juga berkata kebanyakan daripada lebih 400 pelatih PLKN yang mengikuti modul I-SMART setelah didapati mereka tidak boleh membaca dan menulis telah menunjukkan peningkatan melalui kelas petang yang diadakan selama sejam selepas tamat latihan harian mereka.

Ada lima tahap yang digunakan dalam program ini bagi membolehkan tahap celik huruf mereka diukur dan dipertingkatkan bagi membantu mereka di alam pekerjaan nanti.

"Keadaan ini bukan kesilapan Kementerian Pelajaran kerana pemilihan pelatih PLKN di buat secara rawak, ada yang tidak bersekolah, ada yang belajar sehingga Tingkatan Tiga sahaja," katanya.

Program I-SMART ini dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran dan diperkenalkan dalam PLKN pada Ogos tahun lepas.

Pada majlis itu, Abdul Hadi memakaikan pangkat iaitu epolet khas PLK Nkepada 20 pelatih iaitu Ketua Keseluruhan Pelatih Kem Jugra, Ketua Wira (pelatih lelaki), Ketua Wirawati (pelatih wanita), Ketua Wira dan Wirawati dan Penolong Ketua Wira dan Wirawati bagi Kompeni Alpha, Bravo, Charlie dan Delta.

Beliau juga sempat beramah mesra dengan para pelajar dan ibu bapa mereka yang hadir pada majlis penyampaian limau mandarin sempena cuti Hari Raya Cina untuk para pelatih yang bermula pada Jumaat.

"Keputusan Jemaah Menteri telah memberikan peluang kepada pelatih-pelatih untuk bercuti lebih lama iaitu mulai 20 Jan sehingga 26 Jan depan daripada cuti asal iaitu dari 21 hingga 25 Januari ini," katanya.

Ibu bapa yang hadir dibenarkan membawa pulang anak masing-masing, katanya. - BERNAMA


http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/1/19/mstar_berita/20120119211958&sec=mstar_berita

Khamis, 12 Januari 2012

Pelatih PLKN yang kegemukan perlu modul khas



Sebelum ini dilaporkan 8 peratus pelatih PLKN terdiri daripada mereka yang buta huruf. Kini terdapat pula pelatih-pelatih PLKN yang menghadapi masalah obesiti atau kegemukan sehinggakan perlu diadakan modul khas untuk pelatih PLKN yang mempunyai masalah kegemukan serta modul khas lain pula untuk pelatih PLKN yang buta huruf.

Bukankah ini semua akan membantutkan usaha untuk mencapai objektif PLKN yang hanya diberi masa 3 bulan untuk latihan PLKN? Kenapa tidak diadakan tapisan atau ujian kecerdasan otak, ujian membaca dan menulis serta ujian fizikal sebelum para pelatih PLKN ini tersenarai secara rawak sebagai pelatih PLKN?

*************
Pelatih PLKN obes bakal terima latihan fizikal khas
Harian Metro 12 Jan 2012

KUALA LUMPUR: Pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mengalami masalah obesiti hingga tidak mampu mengikuti program fizikal diberikan bakal diasingkan dengan pelatih lain dan diberikan latihan khas dalam modul latihan fizikal baru.

Modul baru berkenaan dihasilkan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dijangka membabitkan pelatih PLKN Kumpulan Dua dan Tiga yang akan melapor diri pada Mei dan September depan.

Dekan FSSK, Dr Mohd Sani Madon berkata, modul berkenaan adalah kandungan baru dalam Manual Fizikal PLKN yang dijangka siap sepenuhnya April depan bagi kegunaan jurulatih PLKN.

“Modul ini yang dihasilkan oleh beberapa tenaga pakar dari FSSK akan mengenal pasti aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan golongan berkenaan.

“Namun, mereka hanya akan diasingkan dalam aktiviti fizikal saja. Bagi aktiviti lain yang tidak membabitkan fizikal, mereka akan bersama-sama dengan pelatih lain. “Latihan yang diberikan berbeza dan bersesuaian dengan kemampuan mereka. Aspek keselamatan juga diutamakan dengan risiko kecederaan yang lebih rendah,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam akhbar kelmarin mengenai Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang melantik UPSI bagi membuat kajian terhadap penambahbaikan modul sedia ada.

Dr Mohd Sani berkata, dalam modul sebelum ini, pelatih obes yang tidak berkemampuan melakukan aktiviti fizikal tertentu akan dikecualikan. Namun, dengan modul baru ini mereka dikehendaki mengikuti latihan fizikal diberikan, tetapi bersesuaian kemampuan mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelatihPLKNobesbakalterimalatihanfizikalkhas/Article/index_html

Rabu, 11 Januari 2012

8 peratus dari 6,667 orang pelatih PLKN Buta Huruf



Jika 8 peratus dari 6,667 orang pelatih PLKN terdiri dari mereka yang buta huruf, ini bermakna secara statistiknya 8 peratus calon SPM 2011 juga adalah mereka yang buta huruf. Jika ada 468,808 orang calon SPM pada tahun 2011, ini bermakna secara puratanya 37,504 orang calon SPM 2011 adalah mereka yang buta huruf, iaitu tidak tahu membaca dan menulis.

Apakah tujuan utama PLKN ini? Jika salah satu objektif PLKN ialah untuk melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri, apakah selepas mereka menjalani latihan 3 bulan PLKN mereka akan cerdas, boleh membaca dan mengira , sedangkan setelah 6 tahun mereka berada di alam persekolahan rendah dan 5 tahun mereka berada di alam persekolahan menengah, mereka ini masih buta huruf?

Apakah kegagalan ini dimana 8 peratus pelatih PLKN ini buta huruf berpunca dari kelemahan dasar sistem pelajaran negara?

Apa pula kriteria mereka yang dipilih sebagai pelatih PLKN agar ianya tidak menjejaskan modul latihan PLKN? Apakah kemahiran 3M tidak diambil kira langsung dalam memilih pelatih PLKN atau hanya bergantung kepada sistem komputer untuk memilih pelatih PLKN secara rawak tanpa mengambil kira kesihatan mental, kesihatan dan keadaan fizikal serta kecerdasan otak pelatih PLKN?

********
Program khas bantu pelatih PLKN kuasai kemahiran 3M
Utusan Malaysia 11 Jan 2012

PUTRAJAYA 10 Jan. - Satu program khas akan dilaksanakan untuk para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikenal pasti masih tidak menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun langkah itu agak terlewat tetapi ia penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci dari PLKN untuk mengenal pasti latar belakang pelajar termasuk jenis sekolah serta kedudukan mereka sama ada di bandar atau luar bandar.

''Dari situ kita akan susun balik, mungkin sekolah-sekolah yang dikenal pasti dan kalau perlu ada program khas untuk atasi masalah itu, kita akan laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baru di Majlis Perutusan Khas Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut 8 peratus daripada 6,667 pelatih PLKN dari 30 pusat latihan didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Keputusan itu berdasarkan satu projek perintis menggunakan satu modul yang dipanggil I-Smart yang dijalankan ke atas kumpulan ketiga pelatih PLKN pada Ogos tahun lepas.

Muhyiddin berkata, pihak beliau menyifatkan penemuan oleh PLKN itu adalah penting kerana dalam rekod kementerian terdapat sebilangan kecil pelajar yang sudah di tingkatan lima masih menghadapi masalah membaca dan menulis.

Atas sebab itulah, beliau menambah, pihaknya memperkenalkan program literasi dan numerasi (LINUS) untuk menguji tahap kefahaman dan keupayaan pelajar termasuk dari segi fizikal, pendengaran, penglihatan sejak darjah satu lagi.

''Tahun lepas program itu amat berkesan sekali kerana lebih 90 peratus telah dapat menerima proses pembelajaran dengan baik selepas menyertai LINUS," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm


Peperiksaan bertulis SPM 2011 akan berlangsung dari 14 November hingga 14 Disember 2011. Seramai 468,808 orang calon akan menduduki SPM pada tahun ini di 3,533 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
http://www.scribd.com/doc/72111147/Kenyataan-Akhbar-Mengenai-SPM-2011


Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut :
1. Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
2. Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
3. Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
4. Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
5. Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.

http://www.khidmatnegara.gov.my/?page_id=23

Rabu, 4 Januari 2012

Kerajaan belanja RM4.7 bilion untuk PLKN sejak 2004



KUALA LUMPUR, 12 Okt 2011 : Kerajaan membelanjakan RM4.7 bilion bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ditubuhkan pada 2004 sehingga 31 Ogos tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, program itu berjaya memberi kesedaran awam kepada pelatih untuk menjadi warganegara yang baik melalui imej dan perlakuan positif dan tidak mudah terlibat dengan kes jenayah.

"Walaupun kementerian ini tidak mempunyai statistik remaja yang pernah menyertai PLKN tetapi masih terlibat dalam kes jenayah, namun kementerian yakin remaja yang menjalani PLKN mampu menjadi remaja yang mempunyai jati diri kukuh," katanya menjawab soalan Amran Abdul Ghani (PKR-Tanah Merah).

Dr Abdul Latiff berkata, peserta yang menyertai program PLKN didapati berjaya mengawal diri daripada terjebak dengan kes jenayah berdasarkan peningkatan pendaftaran pelatih dalam Pasukan Sukarela dari tahun ke tahun. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/KerajaanbelanjaRM4_7bilionuntukPLKNsejak2004/Article

Perbaiki Sistem Pengurusan PLKN



Dari laman web Aduan Rakyat Online - 4 Jan 2012 .
Saya merupakan salah seorang ahli keluarga yang agak terkilan dengan sistem pengambilan dan pengurusan pihak yang berkenaan. Antara permasalahan yang ketara saya lihat adalah seperti berikut:

Alamat surat menyurat segelintir peserta tidak di uruskan dengan betul, di mana kelewatan menuntut surat yang di ajukan.

Impak nya peserta berkemungkinan tidak mempunyai masa untuk menyediakan segala keperluan yang di perlukan oleh pihak penganjur. Diharapkan pihak berkenaan mengambil serius tentang perihal sebegini.

Sekiranya peserta tidak dapat menghadirkan diri jangan menyalahkan mereka 100%. Ini kerana berkemungkinan peserta tidak mendapat surat tawaran tepat pada waktunya.

Permasalahan ini akan lebih sukar sekiranya ia nya berlaku kepada peserta berada di luar bandar dan kurang kemampuan dari aspek kewangan.

Syarat-syarat untuk memberi pelepasan cuti kepada peserta di mana saya di maklumkan bahawa Ibu Bapa/ Penjaga peserta perlu datang ke kem latihan PLKN di mana anak-anak mereka di tempatkan hanya sekadar untuk menandatangani borang cuti. Adakah itu sangat perlu?

Tidakkah pihak penganjur memikirkan kesulitan yang ibu bapa/penjaga alami untuk menuju ke tempat tersebut (Sekiranya ia nya jauh) dan aspek masa tidak mengizinkan?

Disini saya sarankan pihak penganjur haruslah mengambil ikthiar lain. Ini kerana tidak semua ibu bapa mampu untuk melaksanakan syarat-syarat yang di kemukakan.

Kenapa tidak hubungi ibu bapa/penjaga peserta melalui telefon untuk memastikan kebenaran/bukti yang ibu bapa/penjaga peserta telah memberi persetujuan.

Misal kata peserta gagal untuk menghadirkan diri ke latihan khidmat negara yang di anjurkan, di mana saya di fahamkan akan di kenakan tindakan oleh pihak PLKN.

Renungkan di sini, adakah ianya merupakan 100% kesalahan peserta jika alamat surat menyurat tersesat ke tempat lain dan tidak dapat di jejaki?

Kenapa pihak penganjur tidak menghantar surat tawaran tersebut terus sahaja ke alamat sekolah terakhir peserta sahaja agar lebih senang di cari dan pengurusannya lebih cepat?

Saya merayu kepada pihak penganjur agar lebih meneliti segala permasalahan yang saya kemukakan ini. Ini kerana ianya akan menambahkan lagi kesulitan untuk peserta menyertai program latihan yang sememangnya berfaedah untuk anak muda masyarakat kita di mana mereka merupakan pemangkin kepada pembangunan negara.

Masalah ini akan lebih jelas, terutama sekali mereka yang berada di luar bandar, keluarga yang kurang kemampuan dari aspek kewangan, ibu bapa yang buta huruf, keluarga yang tidak mempunyai masa menguruskan hal.

Permaslahan ini akan membebankan kedua-dua belah pihak.

Saya akhiri dengan ucapan ribuan terima kasih atas perhatian pihak tuan/puan ke atas aduan saya ini. Di harapkan pihak tuan/puan yang berkenaan mengambil serius akan aduan yang saya kemukakan ini.

By: WGCH

Sumber : http://www.aduanrakyat.com.my/perbaiki-sistem-pengurusan-plkn

Ahad, 4 Disember 2011

Peserta PLKN mati akibat sesak nafas

Peserta PLKN mati akibat sesak nafas

Berita Harian
19 Jan 2007

MELAKA: Seorang peserta Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Ayer Keroh, dekat sini yang baru menyertai program itu 1 Januari lalu meninggal dunia selepas sesak nafas di kem itu pagi semalam.

Ili Ameera Azlan, 17, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Tunku Jaafar, Seremban, dikatakan sesak nafas sejurus dikejutkan daripada tidur oleh rakan sebiliknya kira-kira jam 5.30 pagi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub, berkata selepas dimaklumkan kepada penyelia, Ili Ameera dihantar ke Hospital Melaka (HM) jam 6 pagi sebelum disahkan meninggal dunia jam 6.30 pagi.

“Kita akan menyiasat dari semua aspek. Kita sudah mendapatkan keterangan rakannya. Daripada siasatan awal forensik, kita tidak menemui apa-apa atau tiada unsur jenayah.

“Malah, Allahyarham juga dikatakan seorang yang ceria. Tiada kegiatan berat dilakukan pihak PLKN semalam (kelmarin) berikutan hujan dan kelas malam juga habis pada jam 10.30 malam,” katanya ketika ditemui di HM di sini, semalam.

Allahyarham adalah anak sulung daripada dua beradik dan tinggal di Taman Tunku Jaafar, Seremban.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata siasatan rapi akan dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kematian.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian sekarang. Kita tunggu laporan sedikit masa lagi,” katanya sambil melahirkan rasa simpati dan sedih atas kematian pelatih itu.

http://pasns.blogspot.com/2007/01/pelatih-plkn-tmn-tuanku-jaafar-ns-mati.html

Sabtu, 3 Disember 2011

39 pelatih PLKN gaduh



39 pelatih PLKN gaduh
Tarikh : December 2, 2011

KUALA KANGSAR – Sepuluh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Desa Rimba, Sauk, di sini cedera malam kelmarin, dalam pergaduhan melibatkan 39 pelatih, sebahagian daripada mereka mengguna peralatan di kem sebagai senjata.

Mereka yang cedera dipukul dengan batang kayu, besi, tali pinggang dan beberapa peralatan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, kejadian itu hanya disedari jurulatih kem berkenaan kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, ketika membuat rondaan, jurulatih berkenaan terdengar bunyi bising dari arah asrama dan mendapati sekumpulan pelatih sedang bergaduh.

“Melihat kejadian itu, jurulatih yang bertugas memanggil beberapa jurulatih lain untuk meleraikan perbalahan di antara pelatih-pelatih berkenaan.

“Setelah diperiksa didapati 10 daripada mereka mengalami kecederaan di badan dan kepala. Malah, seorang pelatih yang hanya bertindak meleraikan pergaduhan turut menjadi mangsa serangan,” katanya pada sidang media, di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pelatih sepatutnya pulang ke rumah pada hari ini (Khamis) kerana sudah tamat latihan dan kem akan ditutup pada jam 10.00 pagi.

“Bagaimanapun, 29 daripada pelatih yang disyaki terlibat itu ditahan untuk memberikan keterangan sebelum dibenarkan pulang, manakala 10 pelatih yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar.

“Polis turut merampas senjata yang digunakan, termasuk besi dan batang kayu yang diambil daripada palang almari,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham di antara pelatih-pelatih tersebut sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati.

“Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Kes ini akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/39-pelatih-plkn-gaduh-1.9235

Koleksi artikel kematian, kemalangan, pergaduhan dan lain-lain di PLKN





Pelatih PLKN dibelasah Jurulatih, kos PLKN RM4.7 Billion di http://amkns.blogspot.com/2011/11/pelatih-plkn-dibelasah-jurulatih-kos.html

Kerajaan BN zalim, bodoh, paksa anak yatim sertai PLKN di http://amkns.blogspot.com/2011/10/kerajaan-bn-zalim-bodoh-paksa-anak.html

Pelatih PLKN koma masih terlantar di hospital di http://mohdtaufek.blogspot.com/2011/05/pelatih-plkn-koma-masih-terlantar-di.html

Ramai pelatih PLKN buta huruf, Menteri Pelajaran GAGAL di http://amkns.blogspot.com/2011/04/ramai-pelatih-plkn-buta-huruf-menteri.html

Seminggu dah 3 pelatih PLKN meninggal dunia di http://amkns.blogspot.com/2011/02/seminggu-dah-3-pelatih-plkn-meninggal.html

Dua pelatih PLKN meninggal dunia, seorang koma di http://amkns.blogspot.com/2011/02/dua-pelatih-plkn-meninggal-dunia.html

Pendidikan SEKS di kem PLKN di http://amkns.blogspot.com/2011/01/pendidikan-seks-di-kem-plkn.html

Bala Wabak Kencing Tikus di Kem PLKN di http://amkns.blogspot.com/2010/08/bala-wabak-kencing-tikus-di-kem-plkn.html

13 kematian dalam tiga tahun perlaksanaannya, apa yang tidak kena? di http://amkns.blogspot.com/2007/09/13-kematian-dalam-tiga-tahun.html

Demam virus tikus di http://amkns.blogspot.com/2007/09/demam-virus-tikus.html

23 pelatih PLKN sesat di hutan di http://amkns.blogspot.com/2007/05/23-pelatih-plkn-sesat-di-hutan.html

Hentikan PLKN untuk wanita jika ingin jadi negara maju di http://pasns.blogspot.com/2007/03/hentikan-plkn-untuk-wanita-jika-ingin.html