23 Ogos 2013
PEKAN: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
cedera di tangan dan badan dikatakan selepas terbabit dalam pergaduhan di Kem
Semarak Tanjung Gosong di sini, malam tadi.
Sumber polis berkata, pelatih berusia 18 tahun itu mengalami
kecederaan selepas cuba meleraikan pergaduhan seorang rakannya dengan seorang
lagi pelatih yang masing-masing berusia 18 tahun.
"Mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu bagaimanapun dia
tercedera dalam kejadian berkenaan. Mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk
menerima rawatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan
Yahaya Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku 9.23
malam tadi.
"Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan sedang
menyiasat punca pergaduhan," katanya. – BERNAMA