Ahad, 26 Januari 2014

RM5.5 bilion dana PLKN lebih baik diguna untuk latihan dan pendidikan


26 Jan 2014 - Selepas sembilan tahun perlaksanaannya, beberapa pihak memberi pandangan berbeza sama ada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) patut diteruskan atau dihentikan. Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu program itu diwajibkan untuk lepasan sekolah menengah, beberapa kumpulan berkata, terlalu banyak wang dibelanjakan untuk program tersebut.

Lebih 750,000 pelajar lepasan sekolah menengah telah mengikut program PLKN yang menelan belanja sekurang-kurang RM5.5 bilion.

Menurut Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon, RM500 juta hingga RM600 juta peruntukan tahunan untuk program tersebut adalah lebih baik digunakan untuk menubuhkan pusat-pusat latihan kemahiran belia.

Youth 4 Change, mahu program tersebut dihentikan.

Koordinatornya, Lian Chiew Yi berkata, dana yang diperuntukkan bagi progam tersebut sepatutnya digunakan untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Isnin, 6 Januari 2014

Operator PLKN diberi masa 6 bulan dapatkan ISO


5 Jan 2013

Semua operator Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi tempoh enam bulan untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 9001:2008 bagi membolehkan mereka terus menguruskan operasi di kem-kem PLKN seluruh negara. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada masa ini hanya 10 peratus daripada operator yang sedang menguruskan 79 kem PLKN seluruh negara telah mempunyai sijil tersebut.


Ahad, 5 Januari 2014

Dua kem PLKN tak patuh syarat ditutup


5 Jan 2014

Kota Kinabalu: Dua daripada 81 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) iaitu Kem Muadzam Shah di Pahang dan Kem Marang di Terengganu ditutup pada sesi pengambilan pelatih Kumpulan Pertama Siri 11/2014 yang bermula semalam.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata penutupan itu dilakukan selepas Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mendapati kedua-dua kem gagal memenuhi syarat keselamatan dan keperluan infrastruktur yang ditetapkan.

Katanya, Kem PLKN Muadzam Shah diarah menambah baik prosedur keselamatan berikutan kes bunuh seorang pelatih di kem terbabit pada September tahun lalu, manakala Kem PLKN Marang diminta memperbaiki kelemahan infrastruktur yang dikesan di kem berkenaan.
Kedua-dua kem berkenaan tidak akan dibenarkan menerima pelatih sehingga pemilik dan pengurusannya mematuhi syarat yang ditetapkan JLKN. Penambahbaikan infrastruktur dan langkah mengelak kejadian kematian pelatih perlu dilaksanakan.

Seramai 43,000 pelatih PLKN Kumpulan 1 Siri 11/2014 dijangka melapor diri di kem PLKN seluruh negara mulai semalam hingga esok.

Seramai 150,000 pelatih akan mengikuti sesi PLKN Siri 11/2014 dengan kumpulan pertama seramai 43,000 orang akan ditempatkan mulai semalam hingga 6 Januari di 81 kem PLKN di seluruh negara.