Ahad, 5 Januari 2014

Dua kem PLKN tak patuh syarat ditutup


5 Jan 2014

Kota Kinabalu: Dua daripada 81 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) iaitu Kem Muadzam Shah di Pahang dan Kem Marang di Terengganu ditutup pada sesi pengambilan pelatih Kumpulan Pertama Siri 11/2014 yang bermula semalam.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata penutupan itu dilakukan selepas Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mendapati kedua-dua kem gagal memenuhi syarat keselamatan dan keperluan infrastruktur yang ditetapkan.

Katanya, Kem PLKN Muadzam Shah diarah menambah baik prosedur keselamatan berikutan kes bunuh seorang pelatih di kem terbabit pada September tahun lalu, manakala Kem PLKN Marang diminta memperbaiki kelemahan infrastruktur yang dikesan di kem berkenaan.
Kedua-dua kem berkenaan tidak akan dibenarkan menerima pelatih sehingga pemilik dan pengurusannya mematuhi syarat yang ditetapkan JLKN. Penambahbaikan infrastruktur dan langkah mengelak kejadian kematian pelatih perlu dilaksanakan.

Seramai 43,000 pelatih PLKN Kumpulan 1 Siri 11/2014 dijangka melapor diri di kem PLKN seluruh negara mulai semalam hingga esok.

Seramai 150,000 pelatih akan mengikuti sesi PLKN Siri 11/2014 dengan kumpulan pertama seramai 43,000 orang akan ditempatkan mulai semalam hingga 6 Januari di 81 kem PLKN di seluruh negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan