22 Mei 2013
BAGAN SERAI - Kegembiraan seorang remaja yang menyertai
latihan di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertukar menjadi mimpi ngeri
apabila dia mendakwa dibelasah dan diugut dengan serpihan kaca cermin oleh 20
pelatih lain dalam kejadian di Baling, Kedah, 15 Mei lalu.
Lebih memilukan, mangsa, G Mahendrawarma, 17, terpaksa
menyorok dalam sebuah rumah usang berdekatan kawasan kem selepas dipukul dari
jam 9.30 malam sehingga 6.30 pagi kerana bimbang kejadian itu berulang.
Mahendrawarma berkata, pada petang hari kejadian, dia
bersama lebih 20 pelatih lain pergi ke sebuah kem askar di Sungai Petani, Kedah
untuk menjalani latihan berenang bersama jurulatih bertugas.
“Setelah kembali ke kem, tiga pelatih ke bilik saya lebih kurang
jam 8.30 malam dan mendakwa tangan saya terkena pada anggota tubuh salah
seorang pelatih lain.
“Saya segera memohon maaf. Bagaimanapun permohonan maaf saya
bukan sahaja tidak diendahkan, malah saya ditumbuk, ditendang dan dipukul
dengan meja seterika oleh tiga pelatih terbabit.
“Kemudian lebih 17 pelatih turut datang ke bilik saya dan
turut membelasah sehingga saya mengalami kecederaan di telinga, bengkak dan
lebam mata kanan, bibir pecah serta lebam di bahagian badan,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Rakan Prihatin Kebajikan
Perak, S Kumaravel.
Mahendrawarma berkata, setelah dibelasah dengan teruk selama
hampir setengah jam, salah seorang daripada kumpulan pelatih terbabit bertindak
mengacu serpihan cermin kaca ke lehernya dan mengugutnya agar tidak melaporkan
kejadian itu kepada sesiapa.
Menurutnya, sejurus kumpulan itu beredar, dia didatangi
beberapa rakan yang membawanya ke bilik air untuk membersihkan darah dan
memandikannya berikutan keadaan diri yang lemah.
“Mereka turut menasihati saya supaya bersembunyi di dalam
sebuah rumah usang berdekatan kem sebab bimbang kejadian pukul itu berulang.
“Akibat takut dan trauma, saya segera bersembunyi dari jam
9.30 malam hingga 6.30 pagi dan kebimbangan rakan-rakan berasas apabila
kumpulan itu kembali mencari saya hingga jam 2 pagi,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, P Gunasegran menegaskan dia
menerima panggilan daripada anaknya kira-kira jam 7 pagi dan terkejut mendengar
kejadian itu.
Menurutnya, dia bergegas ke kem PLKN itu untuk menemui
anaknya dan terkejut apabila kejadian pukul berkenaan tidak diketahui komandan
kem dan jurulatih lain.
“Saya sedih melihat keadaan anak yang mengalami kecederaan
teruk dan meminta kebenaran komandan kem untuk pulang atas alasan Mahendrawarma
sudah ditawarkan peluang mengikuti pengajian tingkatan 6.
“Sejurus tiba di rumah di Trong, kami segera ke Balai Polis
Taiping membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Kumaravel mempersoalkan tahap pengawasan
oleh komandan dan semua jurulatih terlibat memandangkan kejadian pukul menimpa
mangsa boleh mengakibatkan kematian.
“Saya menggesa pihak berwajib mengadakan siasatan terperinci
dan mendakwa mana-mana individu yang terbabit memukul mangsa bagi mengelakkan
kejadian sama berulang,” katanya.