Rabu, 22 Mei 2013

Pelatih PLKN trauma dipukul





22 Mei 2013 

BAGAN SERAI - Kegembiraan seorang remaja yang menyertai latihan di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia mendakwa dibelasah dan diugut dengan serpihan kaca cermin oleh 20 pelatih lain dalam kejadian di Baling, Kedah, 15 Mei lalu.

Lebih memilukan, mangsa, G Mahendrawarma, 17, terpaksa menyorok dalam sebuah rumah usang berdekatan kawasan kem selepas dipukul dari jam 9.30 malam sehingga 6.30 pagi kerana bimbang kejadian itu berulang.

Mahendrawarma berkata, pada petang hari kejadian, dia bersama lebih 20 pelatih lain pergi ke sebuah kem askar di Sungai Petani, Kedah untuk menjalani latihan berenang bersama jurulatih bertugas.

“Setelah kembali ke kem, tiga pelatih ke bilik saya lebih kurang jam 8.30 malam dan mendakwa tangan saya terkena pada anggota tubuh salah seorang pelatih lain.

“Saya segera memohon maaf. Bagaimanapun permohonan maaf saya bukan sahaja tidak diendahkan, malah saya ditumbuk, ditendang dan dipukul dengan meja seterika oleh tiga pelatih terbabit.

“Kemudian lebih 17 pelatih turut datang ke bilik saya dan turut membelasah sehingga saya mengalami kecederaan di telinga, bengkak dan lebam mata kanan, bibir pecah serta lebam di bahagian badan,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Rakan Prihatin Kebajikan Perak, S Kumaravel.

Mahendrawarma berkata, setelah dibelasah dengan teruk selama hampir setengah jam, salah seorang daripada kumpulan pelatih terbabit bertindak mengacu serpihan cermin kaca ke lehernya dan mengugutnya agar tidak melaporkan kejadian itu kepada sesiapa.

Menurutnya, sejurus kumpulan itu beredar, dia didatangi beberapa rakan yang membawanya ke bilik air untuk membersihkan darah dan memandikannya berikutan keadaan diri yang lemah.

“Mereka turut menasihati saya supaya bersembunyi di dalam sebuah rumah usang berdekatan kem sebab bimbang kejadian pukul itu berulang.

“Akibat takut dan trauma, saya segera bersembunyi dari jam 9.30 malam hingga 6.30 pagi dan kebimbangan rakan-rakan berasas apabila kumpulan itu kembali mencari saya hingga jam 2 pagi,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, P Gunasegran menegaskan dia menerima panggilan daripada anaknya kira-kira jam 7 pagi dan terkejut mendengar kejadian itu.

Menurutnya, dia bergegas ke kem PLKN itu untuk menemui anaknya dan terkejut apabila kejadian pukul berkenaan tidak diketahui komandan kem dan jurulatih lain.

“Saya sedih melihat keadaan anak yang mengalami kecederaan teruk dan meminta kebenaran komandan kem untuk pulang atas alasan Mahendrawarma sudah ditawarkan peluang mengikuti pengajian tingkatan 6.

“Sejurus tiba di rumah di Trong, kami segera ke Balai Polis Taiping membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Kumaravel mempersoalkan tahap pengawasan oleh komandan dan semua jurulatih terlibat memandangkan kejadian pukul menimpa mangsa boleh mengakibatkan kematian.

“Saya menggesa pihak berwajib mengadakan siasatan terperinci dan mendakwa mana-mana individu yang terbabit memukul mangsa bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan