Khamis, 13 Jun 2013

Kem PLKN ditutup ekoran 50 pelatih demam



12 Jun 2013 - Sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Pulau Pinang ditutup lebih awal pada Jumaat lepas berikutan kira-kira 50 dari 200 pelatih di situ demam dan sakit tekak.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, keputusan itu dibuat setelah diarahkan Pejabat Kesihatan negeri itu demi memastikan pelatih lain tidak dijangkiti penyakit itu.

"Sepatutnya jika ada kes sebegini kem hanya akan ditutup dua hingga 14 hari sahaja, namun memandangkan pelatih tamat tempoh latihan 20 Jun ini, jadi masa yang tinggal di kem pun tidak lama, maka kita benarkan mereka pulang awal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Pinggiran Pelangi di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, demam dan sakit tekak yang dialami pelatih tersebut adalah disebabkan mereka menjalani latihan dalam cuaca yang agak panas dan kemungkinan terdapat sedikit virus (yang tidak berbahaya).

Abdul Hadi juga berkata, JLKN memutuskan untuk bekerjasama dengan Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan menyerapkan pelatih dan bekas pelatih PLKN dalam skuad berkenaan.

Ini, katanya, bertujuan menyelaras dan menggiatkan lagi semangat kesukarelawan di kalangan remaja bersama masyarakat.

Skuad Muda KDN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei tahun lepas ditubuhkan bagi menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia, terutama mereka yang belum menyertai mana-mana pertubuhan.

Ia terdiri daripada pasukan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). - BERNAMA


Kem Syruz ditutup sementara

12 Jun 2013 - Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Syruz di Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menempatkan 200 pelatih ditutup sementara bermula Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, langkah berjaga-jaga itu diambil berikutan 50 pelatih telah mengalami sakit tekak dan demam.

"Selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta keputusan Jabatan Kesihatan negeri, kem berkenaan ditutup sementara hingga diputuskan benar-benar sesuai diduduki.

"Kesemua pelatih dibenarkan menamatkan latihan lebih awal bagi mengelak dijangkiti virus sama berikutan tarikh tamat latihan adalah pada 21 Jun ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kem PLKN Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, seramai 18,000 pelatih PLKN bakal menamatkan latihan pada 21 Jun ini dan majlis penutupan rasmi akan diadakan pada 20 Jun di 80 buah kem di seluruh negara.

"Saya juga mengalu-alukan dan menggalakkan seramai 10,000 pelatih yang diberi pelepasan awal pada 26 Mei lalu kerana melanjutkan pelajaran hadir sama ke majlis berkenaan bagi mengembalikan nostalgia bersama pelatih lain.

"Mereka boleh datang sehari sebelum majlis tersebut dan dibenarkan bermalam di kem dengan PLKN menanggung kos penginapan dan makan," jelasnya sambil memberitahu, jumlah keseluruhan pelatih pada kali ini adalah seramai 28,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan