Khamis, 20 Jun 2013

JLKN Bincang Dengan Kementerian Pertahanan Wujud Peraturan Ujian Kehamilan Pelatih



JLKN Bincang Dengan Kementerian Pertahanan Wujud Peraturan Ujian Kehamilan Pelatih

20 Jun 2013

KUANTAN: Pengurusan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan berbincang dengan Kementerian Pertahanan bagi mewujudkan peraturan mewajibkan setiap bakal pelatih wanita menjalani ujian kehamilan sebelum menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata peraturan itu amat penting untuk dilaksanakan bagi mengelak kes pelatih hamil tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan sebelum menyertai program berkenaan dan seterusnya bersalin di dalam kem.

Beliau berkata perkara itu perlu dibawa kepada pihak atasan terutamanya Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana ia melibatkan banyak agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Perkara ini perlu diputuskan di peringkat kerajaan dan bagi kami ia amat mustahak dilakukan kerana perlu pastikan pelatih yang mengikuti program tidak berdepan sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas menutup PLK NKumpulan 2 Siri 10/2013 di Kem PLKN Kampung Hijrah, Penor, dekat sini, Khamis.

Beliau berkata walaupun terdapat peraturan pemeriksaan kesihatan terhadap bakal pelatih namun ia bukanlah wajib dilakukan dan ujian kehamilan tiada dalam peraturan itu.

Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan ketiadaan ujian kehamilan itu juga menjadi antara faktor berlakunya kes seperti di Kem PLKN Sri Ledang di Jementah, Segamat.

Dalam kejadian semalam, seorang remaja yang sedang menjalani latihan di kem itu melahirkan seorang bayi lelaki di tandas kem berkenaan sebelum bayinya dilaporkan meninggal dunia.

Difahamkan bayi lelaki seberat 2.7 kilogram itu dilahirkan di tandas berkenaan kira-kira pukul 3 pagi sebelum kejadian itu disedari pengurusan kem yang kemudian membawa ibu bayi terbabit bagi mendapatkan rawatan selain membuat laporan polis.

"Pelatih itu kini selamat dan saya telah meminta siasatan lanjut kes dibuat dan segerakan laporan itu untuk kita melihat latar belakang bagaimana kes itu boleh berlaku dan sebagainya.

"Oleh kerana kes ini sudah jadi kes polis, saya tidak mahu ulas panjang kerana perlu hormati perjalanan kes dan keluarga keluarga mangsa, biarlah polis dan pihak kami siasat dengan terperinci," kata Abdul Hadi.

Dalam pada itu, beliau berkata semua aktiviti fizikal hendaklah dilaksanakan di dalam dewan di semua kem di negeri yang menghadapi masalah jerebu yang teruk bagi memastikan keadaan kesihatan pelatih terjaga dan selamat.

Katanya kesemua kem di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor (kecuali Kem PLKNSri Ledang) diarahkan mematuhi peraturan itu selepas Indeks Pencemaran Udara mencatatkan bacaan melebihi 100. - BERNAMA

Rabu, 19 Jun 2013

Pelatih PLKN Sri Ledang lahir bayi dalam tandas



MUAR 19 Jun 2013 - Seorang remaja yang sedang menjalani latihan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Ledang di Jementah, dekat sini melahirkan seorang bayi lelaki di tandas kem berkenaan sebelum bayi tersebut dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Bayi lelaki seberat 2.7 kilogram itu difahamkan dilahirkan di tandas berkenaan kira-kira pukul 3 pagi sebelum kejadian itu disedari pengurusan kem yang kemudian membawa ibu bayi terbabit bagi mendapatkan rawatan selain membuat laporan polis.

Remaja berusia 18 tahun bersama anaknya yang cukup sifat itu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini. Bagaimanapun bayi tersebut disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba untuk rawatan.

Dia dipercayai berasal dari sebuah kawasan Felda di Kulaijaya dan dikatakan memasuki PLKN tersebut pada April lalu serta dijadualkan akan menamatkan latihan beberapa hari lagi.

Khamis, 13 Jun 2013

48 Pelatih Sakit, Kem PLKN Syruz Ditutup Sementara



48 Pelatih Sakit, Kem PLKN Syruz Ditutup Sementara
Khamis Jun 13, 2013

GEORGE TOWN: Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Syruz di Machang Bubuk ditutup selama dua minggu selepas 48 pelatih mengalami demam panas akibat jangkitan Adenovirus.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata pada Khamis, 20 pelatih pertama mengalami simptom seperti selesema dan telah dimasukkan ke hospital.

"Jumlah pelatih yang jatuh sakit meningkat dengan drastik dalam tempoh seminggu dan keputusan untuk menutup sementara kem tersebut dilakukan untuk mengelak jangkitan itu merebak.

"Sejak dari itu, kami telah bekerjasama dengan jabatan PLKN untuk memantau situasi itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, sebuah kem PLKN di Pulau Pinang ditutup sementara dan 200 pelatih lain dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing.

Kem PLKN ditutup ekoran 50 pelatih demam



12 Jun 2013 - Sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Pulau Pinang ditutup lebih awal pada Jumaat lepas berikutan kira-kira 50 dari 200 pelatih di situ demam dan sakit tekak.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, keputusan itu dibuat setelah diarahkan Pejabat Kesihatan negeri itu demi memastikan pelatih lain tidak dijangkiti penyakit itu.

"Sepatutnya jika ada kes sebegini kem hanya akan ditutup dua hingga 14 hari sahaja, namun memandangkan pelatih tamat tempoh latihan 20 Jun ini, jadi masa yang tinggal di kem pun tidak lama, maka kita benarkan mereka pulang awal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Pinggiran Pelangi di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, demam dan sakit tekak yang dialami pelatih tersebut adalah disebabkan mereka menjalani latihan dalam cuaca yang agak panas dan kemungkinan terdapat sedikit virus (yang tidak berbahaya).

Abdul Hadi juga berkata, JLKN memutuskan untuk bekerjasama dengan Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan menyerapkan pelatih dan bekas pelatih PLKN dalam skuad berkenaan.

Ini, katanya, bertujuan menyelaras dan menggiatkan lagi semangat kesukarelawan di kalangan remaja bersama masyarakat.

Skuad Muda KDN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei tahun lepas ditubuhkan bagi menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia, terutama mereka yang belum menyertai mana-mana pertubuhan.

Ia terdiri daripada pasukan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). - BERNAMA


Kem Syruz ditutup sementara

12 Jun 2013 - Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Syruz di Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menempatkan 200 pelatih ditutup sementara bermula Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, langkah berjaga-jaga itu diambil berikutan 50 pelatih telah mengalami sakit tekak dan demam.

"Selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta keputusan Jabatan Kesihatan negeri, kem berkenaan ditutup sementara hingga diputuskan benar-benar sesuai diduduki.

"Kesemua pelatih dibenarkan menamatkan latihan lebih awal bagi mengelak dijangkiti virus sama berikutan tarikh tamat latihan adalah pada 21 Jun ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kem PLKN Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, seramai 18,000 pelatih PLKN bakal menamatkan latihan pada 21 Jun ini dan majlis penutupan rasmi akan diadakan pada 20 Jun di 80 buah kem di seluruh negara.

"Saya juga mengalu-alukan dan menggalakkan seramai 10,000 pelatih yang diberi pelepasan awal pada 26 Mei lalu kerana melanjutkan pelajaran hadir sama ke majlis berkenaan bagi mengembalikan nostalgia bersama pelatih lain.

"Mereka boleh datang sehari sebelum majlis tersebut dan dibenarkan bermalam di kem dengan PLKN menanggung kos penginapan dan makan," jelasnya sambil memberitahu, jumlah keseluruhan pelatih pada kali ini adalah seramai 28,000.