Selasa, 29 April 2014

PLKN perlu diteruskan dengan kos RM650 juta setahun (~ RM 8,000 seorang)




29 April 2014

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah mencapai matlamat penubuhannya dan perlu diteruskan demi pembangunan jati diri generasi muda, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, ia berlandaskan kaji selidik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sejak diperkenalkan pada 2004 hingga akhir 2013, sebanyak 752,643 pelatih dilatih melalui program ini dengan anggaran kos antara RM550 hingga RM650 juta setahun, katanya.

Isnin, 28 April 2014

Apakah hukuman yang akan dikenakan terhadap pelatih PLKN ini?




Pelatih PLKN Seludup Rokok Dalam Roti -  Kelicikan seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk menyeludup 15 batang rokok dengan menyembunyinya di dalam tiga biji roti sosej di Sungkai, Perak tidak kesampaian apabila helahnya terlebih dahulu dihidu oleh pihak pengurusan kem.

Tindakan remaja berusia 17 tahun itu  dikesan ketika jurulatih kem tersebut melakukan pemeriksaan terhadap pelatih Kumpulan 2, Siri 11, April 2014 yang melapor diri pada Rabu.

Difahamkan, ketika melapor diri kepada pihak kem, remaja berkenaan mendakwa roti tersebut merupakan bekalan makanannya jika terasa lapar semasa menjalani latihan.

Bagaimanapun, prosedur setiap kem PLKN yang menuntut pemeriksaan terperinci dilakukan berjaya mengesan helah remaja terbabit.

Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap remaja itu, dia kelihatan tenang dan enggan menyerahkan roti tersebut.

Bagaimanapun, seorang daripada jurulatih yang memeriksa roti tersebut menemui lima batang rokok yang dibungkus kemas dengan plastik di dalam setiap biji roti.

Kesemua rokok itu kemudiannya dirampas dan pelatih berkemungkinan akan dikenakan hukuman kerana kesalahan menyeludup rokok.