Khamis, 12 Januari 2012

Pelatih PLKN yang kegemukan perlu modul khas



Sebelum ini dilaporkan 8 peratus pelatih PLKN terdiri daripada mereka yang buta huruf. Kini terdapat pula pelatih-pelatih PLKN yang menghadapi masalah obesiti atau kegemukan sehinggakan perlu diadakan modul khas untuk pelatih PLKN yang mempunyai masalah kegemukan serta modul khas lain pula untuk pelatih PLKN yang buta huruf.

Bukankah ini semua akan membantutkan usaha untuk mencapai objektif PLKN yang hanya diberi masa 3 bulan untuk latihan PLKN? Kenapa tidak diadakan tapisan atau ujian kecerdasan otak, ujian membaca dan menulis serta ujian fizikal sebelum para pelatih PLKN ini tersenarai secara rawak sebagai pelatih PLKN?

*************
Pelatih PLKN obes bakal terima latihan fizikal khas
Harian Metro 12 Jan 2012

KUALA LUMPUR: Pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mengalami masalah obesiti hingga tidak mampu mengikuti program fizikal diberikan bakal diasingkan dengan pelatih lain dan diberikan latihan khas dalam modul latihan fizikal baru.

Modul baru berkenaan dihasilkan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dijangka membabitkan pelatih PLKN Kumpulan Dua dan Tiga yang akan melapor diri pada Mei dan September depan.

Dekan FSSK, Dr Mohd Sani Madon berkata, modul berkenaan adalah kandungan baru dalam Manual Fizikal PLKN yang dijangka siap sepenuhnya April depan bagi kegunaan jurulatih PLKN.

“Modul ini yang dihasilkan oleh beberapa tenaga pakar dari FSSK akan mengenal pasti aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan golongan berkenaan.

“Namun, mereka hanya akan diasingkan dalam aktiviti fizikal saja. Bagi aktiviti lain yang tidak membabitkan fizikal, mereka akan bersama-sama dengan pelatih lain. “Latihan yang diberikan berbeza dan bersesuaian dengan kemampuan mereka. Aspek keselamatan juga diutamakan dengan risiko kecederaan yang lebih rendah,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam akhbar kelmarin mengenai Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang melantik UPSI bagi membuat kajian terhadap penambahbaikan modul sedia ada.

Dr Mohd Sani berkata, dalam modul sebelum ini, pelatih obes yang tidak berkemampuan melakukan aktiviti fizikal tertentu akan dikecualikan. Namun, dengan modul baru ini mereka dikehendaki mengikuti latihan fizikal diberikan, tetapi bersesuaian kemampuan mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelatihPLKNobesbakalterimalatihanfizikalkhas/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan