Jumaat, 25 Mei 2012

Kem PLKN Tangkas Kendiri disita

KUALA LUMPUR - Seramai 248 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak akan dipindahkan ke kem lain berikutan notis sita oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pengusaha kem berkenaan diarah mengosongkan kem itu kerana gagal membayar hutang kepada sebuah syarikat pembekal.

"Syarikat itu meminta perintah mahkamah untuk menyita kem berkenaan berikutan pengusaha kem itu tidak dapat melunaskan hutang kepada syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis latihan koordinasi senaman tari sempena Himpunan Jutaan Belia di padang Zetro, Wangsa Maju di sini semalam.

Abdul Hadi menambah, kesemua pelatih akan dipindahkan ke kem yang paling hampir dengan kediaman masing-masing pada 28 Mei ini.

Beliau memberitahu, walaupun notis mahkamah itu diterima pada 22 Mei lalu, program di kem itu tidak terjejas kerana hanya peralatan dan kelengkapan kem yang disita.


Kem PLKN Tangkas Disita, Semua 248 Pelatih Dipindah Mulai Isnin Ini
Khamis Mei 24, 2012

KUALA LUMPUR: Kesemua 248 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak akan dipindah ke kem PLKN di negeri masing-masing Isnin ini, susulan tindakan sita ke atas kem itu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, tindakan sita yang diputus Mahkamah Tinggi Taiping kelmarin adalah kerana pemilik kem gagal menjelaskan hutangnya.

Proses pemindahan itu tidak akan menjejaskan program latihan dan pada masaini pelatih telah selesai menjalani modul Pembangunan Kendiri, manakala baki dua modul iaitu Kenegaraan dan Khidmat Komuniti akan disambung di kem baru, katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Abdul Hadi berkata, bagi jurulatih yang terbabit pula, JLKN akan memindahkan mereka ke beberapa kem yang telah dikenal pasti memerlukan tenaga pengajar.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua pengusaha kem jangan sambil lewa dalammenguruskan kem mereka kerana jika perkara seperti ini berlaku sudah pasti akanmenganggu perjalanan program latihan para peserta," katanya.

Kem Tangkas Kendiri yang telah beroperasi semenjak 2009 mampu menempatkan 250 pelatih dan diselia 40 jurulatih.

Terdahulu Abdul Hadi hadir pada majlis raptai akhir Persembahan Senam Seni yang disertai 1,008 pelatih dari tujuh kem PLKN Zon C, untuk program Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya Sabtu ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan