Jumaat, 15 Jun 2012

96 Pelatih PLKN Dusun Resort Dikuarantin Kerana Virus H1N1

Jun 14, 2012

KUALA NERANG: Seramai 96 daripada 300 pelatih Program Latihan Khidmat Negara kem Dusun Resort dekat sini dikuarantin kerana dijangkiti virus H1N1 sejak malam Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata seramai 18 pelatih sedang dirawat dan dikuarantin di Hospital Kuala Nerang manakala 78 lagi dikuarantin di blok khas di kem itu.

"Jabatan kesihatan sedang memantau kes tersebut dan langkah pencegahan telah diambil oleh pihak pengurusan kem bagi memastikan virus itu tidak merebak," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Beliau berkata pihak pengurusan kem juga mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh jabatan kesihatan dan beberapa petugas jabatan kesihatan turut ditempatkan di kem berkenaan.

"Buat masa ini, semua pelatih dan kakitangan kem itu tidak dibenarkan keluar dari kem sehingga diberitahu kelak", katanya.

Abdul Hadi menasihati ibu bapa supaya tidak datang melawat pelatih dan hanya dibenarkan menghubungi mereka (pelatih) jika perlu.

"Tetapi kalau ada perkara yang penting dan perlu berjumpa dengan pelatih, mereka (ibu bapa) boleh datang tapi perlu memakai mask.

"Ibu bapa tidak perlu risau kerana langkah pengawalan dan pencegahan sedang dilakukan di kem tersebut," katanya.

Beliau berkata semua pelatih yang terlibat adalah pelatih daripada kumpulan dua 2012. - BERNAMA

 
21 pelatih PLKN dijangkiti H1N1
2012/06/15

ALOR SETAR: Seramai 21 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Dusun Resort Kampung Pisang Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang dimasukkan ke Hospital Kuala Nerang (HKN) akibat jangkitan wabak Influenza A (H1N1) sejak tiga hari lalu.

Bagaimanapun, enam pelatih sudah dibenarkan keluar, manakala 15 lagi masih menjalani rawatan di HKN. Sebelum itu, 70 kumpulan pelatih daripada keseluruhan 300 orang dikejarkan ke HKN menjalani pemeriksaan kerana mengalami batuk, demam dan selesema, namun hanya 21 disahkan terkena jangkitan H1N1. Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat, berkata pihaknya sedang menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan semua pelatih terbabit mendapat rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, 15 pelatih yang menerima rawatan di HKN kini stabil dan dijangka pulih sepenuhnya dalam beberapa hari lagi.

“Sehingga petang ini (semalam), kes masih terkawal dan kita membuat pemantauan bagi memastikan H1N1 tidak merebak ke tahap lebih serius.

“Kita juga tidak mengeluarkan arahan kem berkenaan ditutup, namun ia masih dalam pengawasan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, tinjauan Berita Harian di kem berkenaan mendapati ia masih dibuka dengan semua pelatih serta kakitangan diwajibkan memakai topeng mulut dan hidung bagi melindungi mereka daripada dijangkiti.

Beberapa pelatih memaklumkan 10 rakan mereka kini sedang dikuarantin di kem berkenaan, manakala yang lain masih dirawat di HKN.

Seorang pelatih yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku kira-kira tiga hari lalu membabitkan lebih 20 orang yang dikejarkan ke HKN kerana disyaki terkena jangkitan H1N1. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan