KUALA LUMPUR:
Sejak diperkenalkan pada tahun 2004, sejumlah 19 kematian direkodkan dalam
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Selain itu, 21 kes lagi melibatkan kecederaan kekal ke atas
pelatih dalam tempoh sama.
Kematian pelatih adalah disebabkan pelbagai punca termasuk
masalah kesihatan yang dihidapi pelatih.
Perkara itu dimaklumkan kerajaan dalam jawapan bertulis hari
ini terhadap soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin (gambar) di Dewan Rakyat.
Nizar dalam soalannya bertarikh 12 Jun lalu meminta Menteri
Pertahanan menyatakan jumlah pelatih yang meninggal dunia dan mengalami
kecacatan kekal semasa tempoh latihan.
Beliau yang juga AJK PAS Pusat itu juga mahu penjelasan
menteri berhubung berapakah jumlah pampasan yang telah dikeluarkan oleh
kerajaan.
Menjawab jumlah pampasan, kerajaan memaklumkan sejumlah
RM8.3 juta telah dibelanjakan melalui perlindungan insurans kepada pelatih
meliputi kemalangan, kecederaan, kesakitan dan kematian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan