4 pelatih PLKN positif H1N1
ALOR SETAR 18 Mei 2014 - Empat pelatih yang menjalani
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Dusun Minda Resort di Kuala Nerang
dekat sini disahkan positif H1N1.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul
Hadi Awang Kechil berkata, perkara itu disahkan oleh pegawai kesihatan Daerah
Padang Terap yang melakukan pemeriksaan ke atas 54 pelatih yang mengalami demam
sejak dua hari lalu.
"Atas nasihat pegawai kesihatan itu, keempat-empat
pelatih itu kini dikuarantin di kem berkenaan.
"Selain mereka, terdapat 50 lagi pelajar yang menjalani
kuarantin akibat demam biasa dan kesihatan mereka sentiasa dipantau dari semasa
ke semasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketika ini terdapat lebih 320 pelatih yang sedang mengikuti
program tersebut di kem berkenaan.
Selain 54 pelatih itu, kesemua pelatih yang tidak terlibat
masih menjalani latihan seperti biasa.
Mengulas lanjut katanya, sebagai langkah berjaga-jaga,
kesemua pelatih dan jurulatih dibekalkan dengan topeng muka untuk dipakai
sepanjang masa.
"Saya diberitahu esok akan ada pegawai kesihatan negeri
yang turun ke kem berkenaan untuk membuat pemeriksaan lanjut ke atas
pelatih-pelatih terlibat serta menentukan tindakan seterusnya yang perlu
diambil termasuk sama ada mereka perlu dibawa ke hospital atau tidak.
"Buat masa ini saya nasihatkan agar waris tidak datang
melawat kerana dibimbangi turut dijangkiti. Bagaimanapun jika ada yang mahu
berbuat demikian, kami tidak akan menghalang," katanya.
Difahamkan terdapat kira-kira lapan pegawai perubatan yang
bertugas di kem berkenan selain dibantu pegawai kesihatan daerah Padang Terap
untuk membuat pemantauan berterusan.
Sementara itu salah seorang pelatih yang hanya mahu dikenali
sebagai Tan memberitahu para pelatih dimaklumkan mengenai situasi di kem itu
dalam satu perhimpunan yang diadakan kira-kira pukul 5 petang.
"Kami dilarang meninggalkan kem kecuali mendapat
kebenaran serta diminta agar menjaga kebersihan," katanya yang turut
dimaklumkan bahawa semua aktiviti akan diteruskan sehingga diberitahu kelak.