Sabtu, 31 Mac 2012

Henti hantar pelatih ke Kem PLKN Terkok

Henti hantar pelatih ke Kem PLKN Terkok

2012/03/31

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa serta-merta, Kementerian Pertahanan menangguhkan penghantaran pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi Kumpulan 2 Siri9/2012 Kem PLKN Terkok, Sungai Siput Utara, Perak sehingga Perakuan Sah Selamat diperoleh dari Kementerian Kesihatan.

Pada masa sama, semua jenis latihan air dijalankan di kem PLKN seluruh negara turut digantung pelaksanaannya sehingga tempoh yang belum ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata ketetapan itu diputuskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan kematian seorang pelatih kem berkenaan, R Vinoth pada 13 Mac lalu.

Katanya, keputusan itu diambil sebagai langkah keselamatan jangka panjang sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) JLKN serta memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi selain bagi tujuan keberkesanan pelaksanaan PLKN.

“Menteri Pertahanan juga mengambil maklum bahawa sebelum ini kem PLKN berkenaan sudah mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan SOP JLKN yang diputuskan bersama Kementerian Kesihatan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Perak juga sudah membuat pemeriksaan kesihatan persekitaran kem pada 30 Disember 2011 merangkumi persekitaran riadah, bekalan air minuman, premis makanan, penginapan, bilik kuliah, bilik rawatan kem, bilik air dan tandas di mana kem boleh beroperasi seperti biasa.

“Kementerian Kesihatan melalui Makmal Kesihatan Awam Ipoh sebelum ini juga menyemak kolam air di kem itu pada 1 Februari lalu dan ia didapati bebas bakteria Leptospira,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Vinoth, 18, dilaporkan demam panas di kem berkenaan dan dihantar ke Hospital Sungai Siput (HSS) pada 9 Mac dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Dua hari kemudian, Vinoth sekali lagi dihantar ke HSS apabila mengalami demam panas dan muntah sebelum dimasukkan ke wad, namun disahkan meninggal jam 10 malam pada 13 Mac lalu.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HentihantarpelatihkeKemPLKNTerkok/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan