Sabtu, 28 April 2012

Belanja RM750 Juta PLKN Tidak Masuk Akal



Belanja RM750 Juta PLKN Tidak Masuk Akal
June 29, 2011

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diluluskan bagi tahun ini mencecah RM752,922,000.00, meningkat RM252 juta berbanding had asal RM500 juta.

Pecahan perbelanjaan meliputi RM21,328,00.00 bagi kos emolument, RM723,893,530.00 untuk perkhidmatan dan perbekalan, RM6,220,000.00 bagi aset dan RM1,480,470.00 untuk pembayaran dan kenaan bayar tetap termasuk ganjaran kepada kakitangan awam.

Jumlah itu, dikemukakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang memintanya menyatakan jumlah perbelanjaan untuk program itu bagi tahun ini.

Ahmad Zahid berkata, buat masa ini, kerajaan tidak bercadang mengkaji semula pelaksanaan PLKN kerana program itu terbukti berjaya dalam mencapai misi dan visi penubuhannya.

Bagaimanapun, Siew Fook berkata, timbul pelbagai persoalan mengenai kos itu dikatakan tidak masuk akal dan timbul kebimbangan sama ada jumlah itu boleh dikekalkan atau semakin meningkat serta menggalakkan pembaziran wang rakyat.

“Ketika ia mula dilaksanakan pada 2004, semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan, beliau mengumumkan kerajaan menetapkan satu had perbelanjaan maksimum, RM500 juta setahun.

“Apa yang berlaku sekarang sebaliknya, belum sampai 10 tahun, ia meningkat 50 peratus kepada RM750 juta,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan jaminan tiada sebarang peningkatan perbelanjaan PLKN sekiranya tempoh PLKN pelajar dilanjutkan lebih tiga bulan sebagaimana dicadangkan Ahmad Zahid sebelum ini.

“Saya rasa tidak mustahil belanja PLKN sahaja cecah RM1 bilion memandangkan tahun ini baru ada tujuh bulan, belanja hampir cecah RM750 juta dalam tempoh setahun.

“Apa yang kita persoalkan, banyak mana dibelanjakan untuk pakaian seragam, pembekal makanan? Jadi, kerajaan patut kaji pelaksanaan ini kerana kita khuatir matlamatnya tidak tercapai,” katanya.

Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya modul PLKN diterapkan ketika pelajar di sekolah menengah bagi menjimatkan perbelanjaan.

“Memandangkan ia tidak telus, saya menyeru Ketua Audit Negara supaya mengaudit perbelanjaan PLKN, kita manu tahu berapa jumlah belanja diperuntukkan untuk setiap peserta,” katanya. -SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan